Tuesday, July 1, 2008

Sejarah SK. Bukit Piatu

SK Bukit Piatu dibina di atas sebidang tanah di lereng bukit dalam Kampung Bukit Piatu. Keluasan tapak sekolah ini dianggarkan seluas 13.0 ekar. Kerja-kerja pecah tanah telah dijalankan pada awal tahun 1999. Kontraktor yang terlibat mula menjalankan kerja-kerja pembinaan agar sekolah ini dapat digunakan secepat mungkin.

SK. Bukit Piatu telah mula beroperasi pada sesi persekolahan tahun 01.01.2001. Pada peringkat awalnya sekolah ini menumpang di SMK Bentong selama satu tahun sembilan bulan. Ketika itu, tenaga pengajarnya seramai 14 orang. Jumlah pelajar pada ketika itu pula cuma seramai 270 orang.

Pada 30 September 2002, sekolah ini telah berpindah ke bangunan sendiri. Nama sekolah ini diambil sempena nama kawasan sekolah ini didirikan iaitu mengambil nama Kampung Bukit Piatu.

SK Bukit Piatu terdiri daripada dua blok bangunan 3 tingkat, satu blok kantin dan satu blok makmal komputer. Kemudahan prasarana di sekolah ini adalah lengkap dengan pejabat, bilik guru, perpustakaan, dan makmal komputer yang berhawa dingin. Terdapat juga makmal sains, bilik kemahiran hidup, serta kelas pemulihan.

Pada tahun 2003 jumlah tenaga pengajar di sekolah ini telah bertambah menjadi 26 orang. Manakala pelajar yang belajar di sekolah ini seramai 417 orang. Pada tahun 2006 pula jumlah tenaga pengajar ialah seramai 36 orang, manakala pelajar seramai seramai 600 orang.

Guru Besar yang mentadbir sekolah ini silih berganti. Guru Besar pertama ialah Encik Abdul Jalil bin Ahmad. Beliau mentadbir mulai 1 Januari 2001 hingga 15 Mac 2001. Tempat beliau telah diganti pula oleh Encik Abd Rahman bin Abd Aziz sehingga 13 April 2005. Kini Guru Besar sekolah ini ialah Encik Abdul Rashid bin Mahidin.

Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak pentadbir, guru-guru, pelajar, dan kakitangan sokongan agar sekolah ini terus berkembang dan maju.

No comments: