Monday, June 23, 2008

SEJARAH BILIK SUMBER WARISAN KASIH SKBP

Pondok Warisan Kasih telah ditubuhkan pada 24 Mac 2008 sempena Pertandingan Bilik Sumber, Program Pendidikan Pencegahan Dadah ( PPDa) Peringkat Negeri Pahang. Pondok Warisan Kasih yang dibina merupakan satu pusat akses maklumat pendidikan pencegahan dadah yang lengkap dan berinformasi kepada murid-murid, guru-guru, warga sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat.

Sebelum bilik ini dibina beberapa mesyuarat penting telah dijalankan iaitu dimulai dengan Mesyuarat Guru-Guru PPDa Daerah Bentong pada 25 Februari 2008 yang diadakan di Pejabat Pelajaran Daerah Bentong, Mesyuarat Guru SK. Bukit Piatu pada 3 Mac 2008 bertempat di Bilik Gerakan sekolah , Mesyuarat Jawatankuasa Induk Bilik Sumber PPDa pada 5 Mac 2008 dan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bilik Sumber PPDa yang dijalankan pada 18 Mac 2008.

Bilik ini dibina di tapak garaj basikal. Tempat ini dipilih memandangkan tidak ada bilik kosong yang boleh dijadikan Bilik Sumber PPDa dibangunan SK. Bukit Piatu. Kerja ubahsuai garaj basikal telah bermula pada 24 Mac 2008 dengan perkongsian tenaga dan kreativiti guru-guru dan pekerja sekolah. Bilik ini dibina menggunakan bahan-bahan berasaskan kayu dan buluh.

Bersempena dengan itu Ustaz Ahmad Saifulzaman (GPK Kokurikulum ) telah mencadangkan nama bilik diberi nama “Pondok Warisan Kasih”. Cadangan beliau itu telah dipersetujui oleh semua guru SK Bukit Piatu bersesuaian dengan hasrat untuk mengekalkan ‘Warisan Melayu” yang kian ditinggalkan. “Dadah Pembunuh Warisan” telah dipilih sebagai tema Bilik Sumber PPDa SK Bukit Piatu bertepatan dengan nama “Pondok Warisan Kasih”.

Bilik ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama dikenali “Bilik” yang memuatkan bahan-bahan seperti info dadah, replika, hasil kerja murid, keratan akhbar, bahan-bahan pameran dan info ict ( internet ). Bahagian kedua dipanggil “Serambi” memuatkan bahan-bahan bacaan, tayangan video, permainan dalaman dan info tentang insan cemerlang tanpa dadah. Bahagian ketiga dikenali sebagai “Laman” dipenuhi dengan permainan dalaman, tempat santai dan ikrar warga SK Bukit Piatu “KAMI BENCI DADAH”.

Pada 6 Mei 2008 Pondok Warisan Kasih telah menyertai pertandingan Bilik Sumber PPDa Peringkat Daerah Bentong dan telah menjadi Johan Daerah Bentong. Maka dengan itu, Pondok Warisan Kasih SK Bukit Piatu telah berjaya mewakili daerah Bentong ke pertandingan Bilik Sumber Program Pendidikan Pencegahan Dadah peringkat Negeri Pahang 2008.